Wednesday, March 11, 2009

Tindakan perlu luar biasa

Oleh SARAH NADLIN ROHIMsarah.rohim@utusan.com.my


PETALING JAYA Mac - Bajet mini yang akan dibentangkan baru baru ini, perlu lebih banyak ke arah menggalakkan pengguna berbelanja dan bukannya menumpukan sektor pembinaan.
''Pakej rangsangan pertama telah menumpukan kepada projek-projek pembangunan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi berjalan.
''Tetapi pakej kedua atau bajet mini ini, memerlukan polisi langsung dan lebih banyak kecairan untuk membolehkan pengguna berbelanja dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi,'' kata seorang pegawai kanan firma perundingan di sini hari ini.


Sebelum ini, terdapat pandangan menyatakan bajet mini perlu memberikan lebih tumpuan kepada sektor pengilangan dan pembinaan memandangkan sektor ini merupakan pemacu utama kepada ekonomi negara.
Ketua Pengurusan Risiko Kewangan Asia Pasifik KPMG Business Advisory Sdn. Bhd. (KPMG) Dr. John Lee berkata: ''Polisi yang akan dibentangkan nanti perlu memberi penekanan kepada perbelanjaan pengguna.''
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi dialog bertajuk 'Berjaya dalam Keadaan Mencabar', di sini hari ini.
Lee menambah, langkah kerajaan menurunkan kadar faedah dan memberikan rebat tunai kepada pengguna tidak berjaya menggalakkan orang ramai berbelanja, oleh itu cara lain perlu dilaksanakan.
''Kerajaan perlu berfikir di luar kotak (kebiasaan) dengan mengadakan cara yang lebih berkesan, mungkin dengan memberikan skim baucar kepada orang ramai untuk pergi berbelanja seperti yang dilakukan oleh negara Taiwan.
''Selain itu, kerajaan boleh membanyakkan perumahan kos rendah, memberikan baucar makanan kepada mereka yang miskin atau kehilangan kerja,'' jelasnya.
Tambah Lee, langkah menggalakkan perbelanjaan perlu lebih menjuruskan kepada membeli barangan tempatan dan tidak boros berbelanja, membeli apa yang perlu sahaja.


Ditanya sama ada kerajaan Malaysia lewat dalam mengambil langkahnya untuk menangani krisis, Lee berkata, apa yang dilakukan kerajaan adalah bertepatan pada waktunya.
''Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar faedah adalah selari dengan perkembangan semasa, tetapi kerajaan juga perlu mempelbagaikan lagi usaha yang perlu dilakukan dalam memberikan kesan berganda kepada orang ramai.
Lee percaya dengan langkah yang diambil kerajaan nanti akan memberikan kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka menampakkan pemulihan menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini.
Secara keseluruhan, krisis ekonomi global dijangka akan pulih menjelang akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.


Belanja ...belanja..belanja