Wednesday, February 18, 2009

RM5j bagi pengiklanan produk bumiputera

PUTRAJAYA 12 Feb. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) menyediakan geran RM5 juta bagi melaksanakan Program Pengiklanan Usahawan 2009 dalam usaha meningkatkan aktiviti promosi produk bumiputera.
Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, 1,000 usahawan bumiputera dijangka menyertai program itu di kementerian tersebut dari 17 hingga 23 Februari ini.
Beliau meminta usahawan bumiputera menyertai program itu yang menyediakan pembiayaan 50 peratus daripada keseluruhan kos pengiklanan.
"Kelemahan usahawan bumiputera ialah dari segi promosi, ada syarikat yang mempunyai produk-produk yang baik tetapi tidak dikenali umum kerana mereka tidak mampu melaksanakan aktiviti promosi.
"Bagi mendapatkan iklan dalam media seperti televisyen sudah tentu memerlukan kos tinggi," katanya pada sidang akhbar mengenai program pengiklanan itu di kementeriannya di sini semalam.
Menurut Noh, program pengiklanan yang memasuki tahun ketiga itu menunjukkan kesan positif apabila jumlah peserta tahun lalu meningkat kepada 750 orang dengan jumlah geran bertambah kepada RM4.4 juta berbanding RM599,246 pada 2007.
Beliau berkata, program itu juga berjaya meningkatkan jumlah jualan produk usahawan bumiputera daripada RM20 juta kepada RM40.5 juta pada tahun lalu iaitu pertambahan 30 peratus.
Malah, katanya, pertambahan nilai jualan tersebut telah membolehkan para usahawan terbabit melahirkan sebanyak 1,208 usahawan baru.
Menjelas lanjut program itu, Noh berkata, usahawan yang menepati syarat-syarat antara lainnya syarikat modal berbayar tidak lebih RM2.5 juta akan diberi peluang mendapat geran pengiklanan maksimum RM39,000.
Katanya, had maksimum iklan bagi segmen televisyen ialah RM30,000, radio (RM20,000), media cetak (RM15,000), pengangkutan bermotor (RM10,000) dan Internet (RM3,000).
Noh menambah, jumlah panel media pada tahun ini turut meningkat kepada 25 agensi berbanding 18 agensi pada tahun ini.
Antara agensi media elektronik yang terlibat ialah Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Bridge IT System, Media Prima, Citra Net dan Bernama TV.
Segmen media cetak melibatkan Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Kumpulan Karangkraf, Berita Publishing Sdn. Bhd. dan The New Straits Times Press (M) Bhd.
"Berdasarkan program yang lalu, semua geran yang kita sediakan telah digunakan, ia memang mendapat sambutan menggalakkan.
"Saya jemput para usahawan menyertai program itu bagi melakukan pengiklanan mengikut kadar kemampuan mereka dengan separuh kos ditanggung oleh kementerian," katanya.